Tugas Konservator dan Pelantikan Kontraktor Bagi Projek Konservasi

Kerja-kerja pemuliharaan mestilah dikendali dan diurus oleh mereka yang mempunyai kelayakan teknikal dan pengalaman profesional dalam pemuliharaan bangunan warisan. Merujuk Jabatan Warisan Negara (2016) melalui Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan menyatakan, pegawai penguasa / perunding professional sama ada Arkitek atau Jurutera / kontraktor perlu melantik seorang Konservator (Conservator) bagi setiap pihak untuk mengawasi kerja-kerja yang akan dilaksanakan. Berdasarkan amalan semasa, setiap projek mempunyai dua (2) orang konservator iaitu konservator pihak perunding / pelaksana dan konservator bagi pihak kontraktor yang mempunyai peranan masing-masing.

Skop tugas seorang konservator
  1. Memahami sejarah dan teknologi monumen bangunan atau tapak bagi memudahkan pengenalpastian identiti, merancang pemuliharaan dan interprestasi hasil penyelidikan.
  2. Memahami perletakan monumen, bangunan atau tapak, kandungan dan persekitaran yang berkaitan dengan bangunan atau lanskap.
  3. Memahami dan menganalisis ciri-ciri monumen, bangunan atau tapak.
  4. Diagnosis punca-punca asas kerosakan bangunan dan boleh mencadangkan tindakan pemuliharaan.
  5. Menyiasat dan membuat laporan kerosakan yang disokong dengan lakaran dan gambar yang bersesuaian.
  6. Membuat keputusan berasakan etika dan prinsip, tanggungjawab jangka panjang ke atas warisan budaya.
  7. Menjelaskan pandangan dan memberi nasihat ke atas bidangyang perlu dikaji oleh pakar seperti lukisan dinding, arca dan objek/tapak yang mempunyai nilai seni dan budaya.
  8. Memberikan nasihat kepakaran berkaitan strategi penyenggaraan, polisi pengurusan dan rangka kerja untuk penjagaan alam sekitar, pengekalan monumen, bangunan dan tapak.
  9. Mendokumentasikan semua kerja.
  10. Bekerja dalam kumpulan yang pelbagai bidang atau disiplin dan kepakaran.
  11. Boleh bekerja dengan semua kumpulan sama ada pentadbir, pengurus dan perancang bagi menyelesaikan konflik dan merancang strategi pemuliharaan.
Pelantikan konservator bagi projek pemuliharaan mana-mana bangunan Warisan atau Warisan Kebangsaan (yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 - Akta 645), ianya mestilah merujuk kepada senarai Konservator Berdaftar (Bertauliah) yang diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dan mendapat ulasan dan pengesahan daripada Pesuruhjaya Warisan.

Tugas Konservator. Sumber: Saiful Ramli, Slide Pembentangan Bengkel Penyediaan Anggaran Kos JWN di Tok Bali Kelantan (2015)

Pelantikan Kontraktor

Merujuk kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia atau CIDB (2016) dan Jabatan Warisan Negara (2016) menyatakan bahawa,  mana-mana kerja konservasi yang melibatkan bangunan Warisan dan Warisan Kebangsaan, pihak pemilik mestilah memastikan pelantikan kontraktor yang berdaftar dengan CIDB dibawah kod B03 (pemulihan dan pemuliharaan) bagi memastikan kerja-kerja dapat dijalankan dengan baik dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Kod Bidang Pengkhususan Pendaftaran Kontraktor. Sumber: CIDB (2016)

Pemilik perlu mendapatkan ulasan bertulis dari Pesuruhjaya Warisan sebelum melantik Konservator dan Kontrakotr bagi memastikan pelantikan dibuat selaras dengan keperluan Jabatan Warisan Negara.

Rujukan 

  1. Jabatan Warisan Negara. (2016). Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan. JWN: Kuala Lumpur.
  2. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia. (2016). Keperluan dan Prosedur Pendaftaran Kontraktor. CIDB: Kuala Lumpur.
  3. Saiful Ramli. (2015). Penyediaan Anggaran Kos Projek Pemuliharaan di Pembentangan Ceramah Bengkel Penyediaan Anggaran Kos Projek Pemuliharaan 2015. Jabatan Warisan Negara: Tok Bali Kelantan.

Comments

Post a Comment

Popular Posts