Pendekatan Pemuliharaan



Pemuliharaan (Conservation) merupakan satu proses menjaga dan mengawasi sesebuah bangunan warisan dari dimusnahkan atau dibaikpulih tanpa perancangan dan pengurusan yang sistematik. Pemuliharaan melibatkan kerja-kerja bagi mengekalkan keadaan asal sesebuah bangunan dan tapak warisan dan usaha ini merupakan satu proses untuk memanjangkan jangka hayat bangunan supaya ia boleh terus kekal untuk generasi yang akan datang. Usaha untuk memulihara dan memelihara bangunan warisan melibatkan beberapa pendekatan. Maksud pendekatan adalah tindakan-tindakan yang berbentuk proses kerja bagi memulihara bangunan. Pendekatan pemuliharaan di terangkan ini merupakan tafsiran yang dirujuk di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) Bahagian 1 Seksyen 2 dan suntingan daripada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan.

Pendekatan Pemuliharaan (Conservation) di Dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Sumber: S.F. Ramli di Pembentangan Ceramah Pengurusan Projek Konservasi Jabatan Kerja Raya (2016).

1. Pemeliharaan
Pemeliharaan (Preservation) atau di dalam Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan JWN disebut "Pengekalan" didefinasikan sebagai kerja pembaikan untuk mengekalkan sesuatu dalam keadaan asal dan hendaklah dijalankan jika perlu dalam usaha untuk mencegah pereputan berlaku pada masa akan datang. Pemeliharaan merupakan usaha untuk memastikan fabrik sesuatu tempat itu berada dalam keadaan asalnya dan mencegah dari berlakunya keusangan. Pemeliharaan secara lazim melibatkan kerja-kerja pengawasan dan penjagaan sesebuah monumen dan tapak tanah bersejarah agar tidak mengalami kerosakan dengan menggunakan kaedah saintifik dan sistematik.

2. Pembaikpulihan
Pembaikpulihan (Restoration) atau di dalam Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan JWN disebut "Pengembalian Semula" didefinasikan sebagai usaha untuk mengembalikan atau menghidupkan semula konsep keaslian yang terdapat pada bangunan warisan. Lazimnya melibatkan perincian dan rupa bentuk bahan itu dilakukan dengan mengambil kira keaslian bahan, bukti arkeologi, rekabentuk asli dan dokumentasi rujukan dari sumber tulen. Pembaikpulihan lazimnya meibatkan usaha untuk mendapatkan bentuk dan butiran secara tepat sesuatu benda sewaktu ia wujud dalam satu tempoh masa yang tertentu melalui penanggalan atau pengantian bahan yang telah hilang dengan yang baharu. Pembaikpulihan juga turut melibatkan kerja-kerja baikpulih dengan mengekalkan keaslian senibina dan bahan binaannya kepada suatu masa atau era tertentu yang difikirkan sesuai atau sebaik mungkin ke tahap mula didirikan dan hinggalah kegunaannya yang asal.

3. Pembinaan Semula
Pembinaan semula (Reconstruction) adalah proses pembinaan semula struktur secara tepat melalui suatu pembinaan baharu, rupa dan perincian suatu struktur yang telah hilang, atau sebahagian daripada struktur itu, sebagaimana yang didapati pada suatu tempoh masa dan termasuklah pembinaan semula keseluruhan atau sebahagian. Pembinaan semula harus mengambil kira rekabentuk asal bangunan dan boleh dianggap sebagai replika sesebuah bangunan yang telah musnah.

4. Pemulihan
Pemulihan (Rehabilitation) adalah proses mengembalikan sesuatu harta kepada keadaan kebergunaan melalui pembaikan atau pengubahan, yang memungkinkan pengunaan semasa yang efisien sambil memelihara bahagian dan ciri harta itu yang penting kepada senibina dan sejarah.

5. Penyesuaian
Penyesuaian (Adaptive) atau di dalam Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan JWN disebut "Penyesuaian Semula" (Adaptive-reuse), adalah kerja-kerja mengubah suai fungsi dan kegunaan bangunan lama kepada yang baharu, tetapi masih mengekalkan bentuk dan ciri-ciri bangunan yang asal. Sebelum kerja-kerja ubahsuai fungsi dilakukan, butiran bangunan seperti pengunaan ruang asal dan ciri-ciri elemen mestilah direkodkan. Lukisan terukur "measured drawing" dan lukisan binaan baharu mestilah disediakan bagi tujuan rekod perubahan pada bangunan.

Walaubagaimanapun merujuk kepada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan oleh Jabatan Warisan Negara terkini terbitan tahun 2016, terdapat beberapa lagi pendekatan yang ditambahbaik iaitu seperti:

1. Pencegahan
Pencegahan (Prevention) didefinasikan sebagai usaha melindungi bangunan bersejarah dengan mengawal alam persekitaran yang secara tidak langsung mencegah agen kereputan dan kerosakan dari menjadi aktif. Pencegahan ini merangkumi kawalan ke atas kelembapan dalaman, suhu dan cahaya termasuklah tindakan untuk mengelakkan kebakaran, khianat, kecurian dan vandalisme dengan menyediakan kaedah pengurusan bangunan yang baik. Pencegahan dapat dilakukan melalui pemeriksaan berkala, penyelenggaraan dan jadual pencucian untuk mencegah kemerosotan serta kerosakan bangunan dari berlaku.

2. Pengukuhan
Pengukuhan (consolidation) dinyatakan sebagai tambahan dalam bentuk fizikal atau aplikasi menggunakan bahan tambahan atau bahan sokongan ke atas struktur asal pada sesebuah bangunan bersejarah bertujuan untuk meneruskan ketahanan dan integritinya dalam usaha untuk mengekalkan keaslian bahan dan rupabentuknya. Dalam erti kata lain, tiada satupun bahan yang mempunyai nilai sejarah dialih dan dlupuskan begitu sahaja.

3. Pengeluaran Semula
Pengeluaran semula (reproduction) didefinasikan sebagai penyalinan sesebuah artifak yang lazimnya bertujuan untuk menggantikan bahagian kompenan yang hilang atau reput agar nilai estetik secara keseluruhannya terpelihara. Pengeluaran semula turut melibatkan kerja menyalin artifak dari bahan hiasan yang diancam kerosakan dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian nilai estetiknya.

4. Penyenggaraan
Penyenggaraan (maintenance) dinyatakan sebagai menjalankan kerja, membaiki, dan penjagaan ke atas struktur bangunan bersejarah secara berterusan dan dilakukan selepas pembinaan atau selepas pengembalian semula selesai pada suatu tahap yang memuaskan dalam usaha untuk menggelakan kemerosotan.

#pemuliharaan #pemeliharaan #pembaikpulihan #pembinaansemula #pemulihan #penyesuaian #pencegahan #pengukuhan #pengeluaransemula #penyenggaraan

Rujukan:
  1. Jabatan Warisan Negara. (2016). Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan. Kuala Lumpur.
  2. Kerajaan Malaysia. (n.d.). Akta Warisan Kebangsaan 2005. Akta 645. Kuala Lumpur.
  3. Ramli. S.F. (2016). Ceramah Pengurusan Projek Konservasi Jabatan Kerja Raya. Johor Bahru.

Comments

Popular Posts