Memelihara dan Pemuliharaan Bangunan Lama.

Penulisan ringkas ini dimuat turun bagi menjawab beberapa soalan yang pada ketika ini kerap ditanya kepada saya melalui pesanan ringkas, whatsapp, email dan Linkedln oleh pelajar, agensi kerajaan dan swasta serta pemilik permis bangunan lama.
Sumber Gambar: Facebook S.F. Ramli (2016)
1. Bilakah usia bangunan yang layak untuk dipulihara?

Sebenarnya tiada had atau minima usia bangunan yang perlu dipulihara atau dinyatakan di dalam garis panduan dan undang-undang. Namun ada penyelidik yang menyatakan 100 tahun, ada yang menyatakan 50 tahun (mengikut pendapat dan kajian ilmiah beberapa pakar lain). Walaubagaimanapun usia bangunan lama banyak dipengaruhi oleh sejarah atau warisan sesebuah bangunan. Oleh itu, bagi memulihara sesebuah bangunan lama, keperluan pengekalan haruslah dilihat dari segi kepentingan bangunan, sejarah, senibina dan juga hubungannya dengan sosio budaya persekitaran yang menyumbang kepada kepentingan bangunan tersebut.

2. Bagaimana kita boleh memelihara bangunan lama?

Untuk memelihara bangunan lama kita perlu melihat kepada 2 perkara. Iaitu bangunan yang telah diwartakan ( dibawah Akta Warisan Kebangsaan 2005) dan juga bangunan yang belum diwartakan. Bangunan yang telah diwartakan perlu memenuhi keperluan undang-undang sepertimana yang telah termaktub di dalam Akta 645. (Rujuk Akta 645 untuk bacaan lanjut) dan garis panduan lain seperti Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan JWN. Walaubagaimanapun bangunan yang tidak diwartakan, tidak semestinya seseorang itu mudah merobohkan atau membina binaan baru dengan sewenangnya. Ianya harus dilihat dan dipraktikkan berdasarkan prinsip dan etika dalam pemuliharaan bangunan lama. (Baca Burra Charter untuk lebih lanjut).

3. Mengapa perlu adanya perunding konservator profesional bagi sesuatu projek yang mempunyai bangunan lama?

Konservator Profesional adalah penting untuk menilai/mengkaji sesuatu bangunan lama tidak kira bangunan itu sudah diwartakan atau belum diwartakan. Penilaian tersebut adalah dari segi sejarah dan kepentingan, kajian saintifik binaan bangunan, memberi khidmat nasihat kaedah pembaikan dan kerja kerja dokumentasi sebelum, semasa dan selepas pemuliharaan berdasarkan pendekatan metodologi Historical Architectural Building Survey (HABS).

4. Adakah pembaikan bangunan lama sama seperti membaiki bangunan baru?

Jawapannya adalah tidak. Ini kerana seseorang konservator profesional harus melaksanakan kerja penyelidikan yang melibatkan kajian sejarah, kajian makmal saintifik dan memahami struktur binaan sebagai contoh; mengenali bahan binaan dan komposisi plaster asal atau mengetahui jenis kayu asal yang digunakan. Teknik pembinaan bangunan lama juga adalah berbeza seperti contoh pembinaan gerbang dan stuktur kayu rumah lama, kaedah memplaster dan mengecat dinding. Selepas itu kontraktor harus membaiki dan menyiapkan sebarang binaan berdasarkan laporan dilapidasi yang telah disediakan oleh perunding konservator profesional. Segala pembinaan atau pembaikan harus didokumentasi bagi tujuan penyelidikan dan penyelenggaraan pada masa hadapan.

Artikel oleh:
Saiful F Ramli
25 Jun 2016

#artikel
#pemuliharaanbangunanlama
#pemuliharaan #pembaikan #pemeliharaan
#soaljawab


Artikel ini dipetik semula dari laman Facebook saya di https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10207523354215206&set=pb.1029802929.-2207520000.1505616706.&type=3&theater Ditulis pada 25 Jun 2016.


Comments

Popular Posts